TANGGUNGJAWAB 199 atlet kebangsaan di Sukan Komanwel New Delhi, India untuk memburu emas bermula sebaik saja Chef-de-mission, Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalif memasuki Stadium Jawaharlal Nehru mengetuai kontinjen negara di upacara pembukaan temasya edisi ke-19 itu, semalam.
Mengiringinya adalah barisan atlet kebangsaan yang menyertai 14 acara sukan iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju, ragbi tujuh sebelah serta tiga acara paralimpik (renang, olahraga dan powerlifting).
Upacara pembukaan yang dihadiri kira-kira 60,000 penonton di stadium itu bermula dengan tembakan bunga api diikuti dengan tarian tempatan ala Bollywood, persembahan alat muzik tradisional yang diketuai pemenang anugerah Akademi, A R Rahman serta pertunjukan cahaya laser membabitkan belon terbesar di dunia yang dikenali sebagai “Aerostat” diketuai pemenang anugerah Akademi, A R Rahman.
Kontinjen Malaysia kali ini mensasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya 10 pingat emas sekali gus bagi mengatasi tujuh emas, 12 perak dan 10 gangsa yang diperoleh di Melbourne, Australia, empat tahun lalu malah Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang tiba di India bagi memberi semangat ke kontinjen negara yakin sasaran itu mampu diatasi jika atlet bersifat konservatif.
Pencapaian terbaik Malaysia pada temasya itu adalah di Kuala Lumpur pada 1998 apabila kontinjen negara berjaya meraih 10 emas, 14 perak dan 6 gangsa.
Namun selepas 12 tahun berbekalkan persiapan yang rapi kontinjen negara mahu sekurang-kurangnya 10 emas untuk dicapai di luar Kuala Lumpur berdasarkan peningkatan dan penguasaan atlet negara di dalam beberapa jenis sukan seperti badminton, skuasy dan boling padang.
Malah tiga sukan ini dilihat sebagai 'lubuk' kepada kontinjen negara kerana diketuai oleh pemain nombor satu dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy) dan Mohd Safuan Said (boling padang).
Beberapa jenis sukan juga dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk menyumbang emas kepada negara seperti berbasikal (trek), angkat berat, memanah dan terjun kerana negara mempunyai beberapa atlet yang bertaraf dunia seperti Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin, Leong Mun Yee dan Amirul Hamizan Ibrahim.
Cabaran negara bagaimanapun terpaksa dimulakan dengan berita buruk dengan gimnas berusia 17 tahun, Cheong See Teng terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan apabila siku kanannya terseliuh ketika menjalani latihan.
Temasya itu yang berlangsung selama 11 hari membabitkan kira-kira 4,000 itu akan berlangsung dengan kawalan ketat hampir 100,000 anggota keselamatan berikutan ancaman keselamatan selepas dibayangi beberapa permasalahan sebelum ini seperti wabak denggi, perkampungan atlet yang kotor, laluan pejalan kaki yang runtuh, ancaman rusuhan, rasuah dan sebagainya.
Related Article:
1 comment:
moga Malaysia dapat kumpul byk emas kali ni
Post a Comment