~CoreTaN tEmaN~

Saturday, July 17, 2010

Penantian Wook Kundor

Hari ni belek2 Utusan Online ternampakle satu tajuk yang agak menarik iaitu pasal Wook Kundor yang baru je dapat balek kasih sayang suami yang baru lepas menjalani hukuman di PUSPEN akibat dari kesalahan dadah....walaupun beza umonye dah 70 tahun dimana Wook Kundor ni berumur 108 tahun manakala suaminya 38 tahun,dia tetap menyayangi suaminya sama seperti isteri2 lain di luar sane...hehe...Wook Kundor pon mesra je melayan suaminya walaupun dah lama terpisah membuktikan cinta Wook Kundor ni xpernah padam walaupun suaminya telah membuat kesalahan.....memang teguh betul cinte Wook Kundor nih walaupun umonye dah 108 tahun....



Berilah suami saya kerja - Wook


WOOK Kundor duduk di pangkuan suaminya, Mohd. Noor Che Musa di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, Kelantan, semalam.


TANAH MERAH 16 Julai - ''Syukurlah suami dah balik, suka lah hati kita dapat jumpa semula sebab sayang sangat padanya dan harap lepas ni, peliharalah kita baik-baik."

Kata Wook Kundor, 108, setelah suaminya, Mohd. Noor Che Musa, 38, dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut, Terengganu semalam,

Detik itu juga mengakhiri penantian Wook selama 12 bulan lapan hari apabila Mohd. Noor yang muda hampir 70 tahun daripadanya kembali ke pangkuannya.

Wook melahirkan perasaan tersebut ketika ditemui di rumah pusaka milik keluarga Mohd. Noor di Kampung Chat Rimau di sini hari ini.

Disaksikan saudara mara dan jiran tetangga terdekat yang menziarahi, Wook kelihatan bergurau senda dengan suami dan sesekali dilihat merajuk namun tetap setia melayan suami yang bersiap sedia ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

''Jadual hidup kami akan kembali seperti sebelum Mohd. Noor ditahan, macam isteri-isteri lain, saya juga akan melayan makan dan minumnya.

''Dia juga telah berjanji akan mencari pekerjaan untuk menampung perbelanjaan kami, lagipun dia masih muda dan tubuh masih tegap dan gagah, banyak pekerjaan boleh dilakukan," katanya yang tidak lepas memandang ke arah Mohd. Noor.

Wook yang pada mulanya enggan ditemu bual dan diambil gambar atas alasan sibuk berkemas untuk kembali ke rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Terengganu kerana telah lama mengosongkan rumah tersebut akhirnya beralah, apabila suami memujuk.

''Sejak suami ditahan, saya takut tinggal seorang diri di rumah dan menumpang di rumah adik di Jerangau, Terengganu sebelum tinggal bersama anak angkat di Bachok dan bila Mohd. Noor bebas baru saya datang ke sini," katanya.

Kebimbangan Wook nyata berasas apabila diberitahu jiran di kampungnya, sebanyak dua kali rumahnya dimasuki pencuri dan segala perabot termasuk peti sejuk dan periuk belanga yang sebahagiannya hasil sumbangan orang ramai telah dilarikan.

''Saya rasa seperti sudah jatuh ditimpa tangga, kami bukan orang senang, tinggal dalam rumah yang sebahagiannya hampir reput tetapi masih ada yang mahu mencuri harta benda yang ada serba sedikit.

''Sebentuk cincin emas, sebilah keris dan beberapa helai pakaian milik suami turut dicuri, sekarang ini saya rasa rumah saya kosong dan sudah tidak ada apa-apa, hendak mengadu pada siapa pun saya tidak tahu," katanya meraih simpati.

Kisah perkahwinan Mohd. Noor dengan Wook, pada lima tahun lalu mendapat liputan meluas media. Ia merupakan perkahwinan kali ke-23 bagi warga emas itu.

Sementara itu, kesetiaan Wook yang sanggup menunggunya dibebaskan dari Puspen dan telah menziarahinya sebanyak lima kali sepanjang tempoh ditahan menambah perasaan sayang Mohd. Noor terhadap isterinya itu.

''Rasa kasih sayang isteri cukup mengharukan saya malah sepanjang ditahan di Puspen, saya sentiasa teringatkan Wook. Saya akui tersilap langkah kerana terlibat dengan perkara yang tidak baik dan sekarang saya insaf dan bertaubat.

''Kalaulah saya mendengar nasihatnya dulu, tentu perkara begini (terlibat dengan dadah) tidak berlaku dan saya akan sentiasa ada di sisinya. Selepas ini saya mahu berubah dan berusaha mencari sinar baru dan berazam mencari pekerjaan bagi menampung hidup kami berdua," katanya.

Tambahnya, dia berterima kasih kepada kakitangan Puspen yang memberinya peluang mengenali diri sendiri ke arah menjadi manusia lebih bertanggungjawab.

''Apa yang saya peroleh sepanjang proses pemulihan akan digunakan sebagai bekalan memperbaiki diri. Saya yakin boleh berubah menjadi manusia yang lebih berguna.

''Kakitangan Puspen juga memberi suntikan semangat baru untuk saya menggalas tanggungjawab sebagai suami malah kesetiaan isteri menyentuh hati saya dan perasaan sayang padanya bertambah," ujarnya.

Mohd. Noor dimasukkan ke Puspen Sungai Besi pada 7 Julai tahun lalu sebelum dipindahkan ke Puspen Besut pada 31 Disember tahun lalu atas permintaan Wook yang sukar untuk menziarahi Mohd. Noor.

Sementara itu, Wook merayu mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk mengambil suaminya bekerja kerana ia akan menjamin pendapatan mereka suami isteri.

''Saya berharap sangat, suami saya mendapat pekerjaan kerana sebelum ini pun dia pernah bekerja di kilang. Kalau dia bekerja, dapatlah menampung hidup kami yang serba kekurangan," ujarnya.

Dia juga memohon mana-mana pihak yang prihatin dengan nasibnya agar dapat membantu membaik pulih rumahnya dan membeli kelengkapan perabot yang telah dilarikan pencuri, lebih-lebih lagi menjelang persiapan menyambut Ramadan tidak lama lagi.



Related Article:

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 coretan teman. All rights reserved.

rss digg delicious facebook