~CoreTaN tEmaN~

Saturday, August 7, 2010

UniMAP tingkat kemajuan pendidikan


2010/08/07
Institusi pengajian tinggi utama negeri bawa suasana kecemerlangan akademik ke Perlis

BOLEH Datuk terangkan sumbangan UniMAP dalam menjana pembangunan holistik Perlis?

Sebagai sebuah institusi pendidikan utama negeri, UniMAP membawa suasana serta mood akademik ke Perlis melalui kehadiran lebih 20,000 pelajar serta staf dari pelbagai lapisan yang secara tidak langsung mengubah landskap Perlis kepada sebuah negeri ilmu. Malah, kehadiran warga UniMAP turut membawa bersama pelaburan besar kepada negeri dalam bentuk perbelanjaan baik untuk kediaman, makan minum, hiburan serta keperluan lain. Dalam tempoh lapan tahun iaitu sejak 2002 UniMAP sudah membelanjakan RM320.4 juta untuk pelbagai tujuan di Perlis dan wang berkenaan berputar secara aktif dalam pasaran ekonomi negeri.
Apa peranan UniMAP dalam membangunkan aspek pendidikan negeri?

Jika dilihat, kemasukan staf terutama warga pendidik UniMAP ke Perlis turut membawa bersama anak masing-masing yang majoritinya terdiri daripada pelajar pintar yang terbukti banyak membantu meningkatkan daya saing di kalangan pelajar sekolah di negeri ini baik di peringkat rendah atau menengah. Ia secara tidak langsung meningkatkan mutu pencapaian negeri dalam beberapa peperiksaan utama, sekali gus menyumbang kepada penambahan bilangan pelajar cemerlang di setiap sekolah. Selain itu, UniMAP turut menjalankan beberapa program termasuk melantik empat sekolah menengah di Perlis sebagai sekolah angkat yang mana pelbagai aktiviti akademik dirancang UniMAP kepada pelajarnya. Kita turut memeterai memorandum persefahaman dengan enam agensi pendidikan negeri bagi tujuan perkongsian dan penyaluran ilmu berkaitan kejuruteraan bagi meningkatkan pemahaman dan pengetahuan masyarakat di Perlis.

Bagaimana kemasukan pelajar dan staf UniMAP membantu pembangunan ekonomi negeri?

Unit Kajian Strategik melaporkan, staf UniMAP secara purata membelanjakan RM10 sehari untuk sarapan pagi dan makan tengah hari di restoran sekitar tempat kerja. Dengan jumlah staf UniMAP seramai 1,563 kini, secara kasarnya sejumlah RM78,150 sebulan dijana restoran serta kedai makan di Perlis melalui perbelanjaan itu. Itu tidak termasuk perbelanjaan barang dapur di mana setiap seorang staf dilapor mengeluarkan antara RM250-RM500 sebulan. Dari segi pelajar pula, setiap mereka menerima pinjaman atau biasiswa antara RM7,000 hingga RM8,400 bagi satu semester yang mana setiap mereka dianggar berbelanja antara RM583.33 hingga RM700 sebulan. Kita yakin majoriti wang berkenaan dibelanjakan di Perlis di mana mereka menjalani kehidupan seharian.
UniMAP turut menerajui pembangunan sosial negeri Perlis. Apa komen Datuk?

Pembangunan sosial meliputi banyak aspek antaranya kebajikan, sukan, kemasyarakatan serta kebudayaan. Walaupun UniMAP sebuah universiti teknikal awam, ia turut menekankan aspek sosial dalam usaha melahirkan graduan seimbang. Pelbagai program diatur turut menarik penyertaan komuniti dan masyarakat, terutama Baktisiswa Perdana yang sehingga kini sudah membabitkan lebih 100 kampung sejak 2007. Program Baktisiswa ini bersifat serampang dua mata bukan saja mendedahkan pelajar kepada aspek sosial kemasyarakatan, tetapi turut membawa masuk pendedahan akademik ke dalam suasana kampung, sekali gus memberikan inspirasi kepada anak kampung untuk turut berusaha dapat melanjutkan pengajian ke menara gading. Dari segi sukan pula, UniMAP tidak kurang hebat kerana menyumbang pelbagai kejuaraan kepada Perlis melalui atlit universiti, sekali gus melonjakkan nama Perlis.

Dengan apa yang dibawa UniMAP, apa harapan Datuk terhadap Perlis?

Sejak bertapak di Perlis pada tahun 2001, hampir RM300 juta dibawa masuk UniMAP ke negeri ini melalui pelbagai saluran meliputi peruntukan pembangunan, penyewaan dan pembelian aset. Jumlah itu sudah pasti banyak membantu merancakkan lagi putaran ekonomi negeri. Malah bilangan pelajar yang semakin bertambah setiap tahun turut menyumbang kepada kecairan wang tunai dalam pasaran ekonomi negeri untuk dimanfaatkan dalam segenap bentuk baik oleh kerajaan atau rakyat. Justeru, saya harap dan ingin sekali melihat Perlis bergerak maju seiring dengan UniMAP dengan memanfaatkan sebaik mungkin setiap sen pelaburan yang dibawa masuk universiti itu. Selain itu, saya juga berharap lebih banyak sekolah aliran sains dapat diwujudkan di Perlis untuk memberi peluang kepada lebih ramai anak Perlis memohon masuk ke UniMAP. Buat masa sekarang, bilangan pelajar Perlis yang belajar di UniMAP amat minimum, disebabkan jumlah pelajar aliran sains negeri yang terbatas.


Lahirkan ramai jurutera berstatus holistik

SEJAK memulakan pengambilan pelajar pada tahun 2002, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya melahirkan jurutera berstatus holistik melalui empat konvokesyen yang diadakan, sekali gus memberikan setiap graduan dilahirkannya tahap kebolehpasaran tinggi.

Ini terbukti apabila hampir 85 peratus graduannya sudah diterima bekerja sama ada dalam syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta ataupun agensi kerajaan dan badan berkanun.

Justeru, tidak hairanlah saban tahun UniMAP walaupun dianggap muda dan baru mencecah usia lapan tahun, menjadi pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam setiap bidang kejuruteraan ditawarkan.
Rahsianya adalah resipi yang diadun UniMAP secara berterusan ke dalam diri setiap pelajarnya sepanjang tempoh empat tahun pengajian, menyebabkan graduan dilahirkan mampu memainkan peranan sebaik mungkin sebagai jurutera serba boleh sebaik melangkah keluar.

Mengulas resipi rahsia berkenaan, Dekan Pengurusan Akademik UniMAP, Prof Ir Dr Rezuwan Kamaruddin, berkata UniMAP yang disenarai di bawah Rangkaian Universiti Tenikal Malaysia (MTUN) memberi keutamaan lebih kepada aspek praktikal, namun soal teori tidak pernah dilupakan.

Katanya, kunci utama kejayaan kebolehpasaran graduan UniMAP ialah daya saing mereka dalam mengadaptasi secara terus aspek praktikal di pasaran industri, yang jelas memberikan mereka satu kelebihan besar berbanding graduan lain.

Katanya, UniMAP mahu semua graduannya bukan saja mahir dalam bidang kejuruteraan semata-mata, sebaliknya mampu mengaplikasikan setiap teori dan konsep yang diajar ke dalam dunia sebenar, sekali gus membuktikan mereka layak untuk bergelar ‘Jurutera Holistik’.
“Dengan kata lain, graduan UniMAP bukan saja mampu mendalami aspek teori, tetapi turut berupaya mengenal pasti sebarang masalah yang timbul dan menyele-saikannya, selain berkebolehan mencipta pembaharuan untuk dunia dan masyarakat sejagat,” katanya.

Selaras hasrat melahirkan ‘Jurutera Holistik’, Rezuwan berkata, UniMAP merangka tujuh garis panduan khusus untuk diberikan penekanan melalui konsep kemahiran modal insan yang mana pendedahan secara berterusan diberikan dengan menerapkan unsur berkenaan dalam pengisian harian pelajar.

Tujuh aspek kemahiran itu meliputi komunikasi, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, kerja berkumpulan, keusahawanan serta aspek moral dan etika profesional.

“Hari ini, kita bangga mengatakan graduan dilahirkan UniMAP menepati ciri-ciri berkenaan. Malah, maklum balas diterima turut mengesahkan graduan UniMAP lebih mesra industri.

“Segala pengisian kurikulum dan silibus pengajian di UniMAP adalah menepati standard ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) untuk memastikan program dijana universiti menepati sasaran kerajaan terutama dalam meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi negara kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang 2015,” katanya.

sumber-berita harian online

Related Article:

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 coretan teman. All rights reserved.

rss digg delicious facebook